Renungan : Nabi s.a.w bersabda : "Sesetengah ilmu itu keadaannya seperti mutiara yang tersimpan dalam hidangan perut ibunya, tidak ada sesiapa yang mengetahuinya melainkan orang-orang yang berilmu dengan Allah."
Segala fakta yang tertulis sebelum ini adalah sebagai panduan yang umum. Manakala bagi individu itu sendiri, hendaklah ia bermula dengan aturan amalan di bawah ini. Amalan ini adalah amat berkesan untuk semua peringkat dan darjat manusia. Amalan ini juga adalah sebagai pemangkin untuk patuh dan taat kepada Allah S.W.T. dan Nabi S.A.W.
PERTAMA
Hendaklah melazimkan membaca selawat dan istighfar sehingga berkekalan ke akhir hayat. Pada permulaannya hendaklah membaca sebanyak empat puluh ribu selawat dan istighfar.
Peringatan: Selawat ini juga hendaklah dibaca sekurang-kurangnya 100 kali sehari dan juga sebelum dan sesudah solat serta pada bila-bila waktu jua (sentiasa).
KEDUA
Membaca Ayat Kursi selepas setiap Solat Subuh dan Asar.
- Tiap-tiap kali Ayat Kursi selesai dibaca, maka berdoalah seperti berikut: "Ya Allah, ya Tuhanku! Jadikanlah di hadapan hamba-Mu yang hina, daif, jahil lagi banyak dosa ini, kota besi, kota tembaga yang tidak dapat dikhianati oleh iblis, jin, manusia dan binatang."
- Doa ini dibaca tiap-tiap kali selesai membaca Ayat Kursi, hendaklah ditukarkan perkataan di hadapan kepada di belakang, di kanan, di kiri, di atas dan di bawah.
- Doa yang ketujuh hendaklah dibaca seperti berikut sambil menadah tangan: “Ya Allah, ya Tuhanku! Peliharakanlah setiap sendi-sendi, liang bulu roma hamba-Mu yang hina, daif, jahil lagi banyak dosa ini dari gangguan hawa nafsu dan syaitan semata-mata dengan limpah rahmat-Mu sahaja, ya Allah!"
- Selepas selesai membaca doa ini, hendaklah dihembuskan ke tapak tangan kemudian disapu ke seluruh badan kecuali kemaluan dan tapak kaki.
- Hendaklah dibaca 7 kali pagi dan petang. InsyaAllah akan terpelihara daripada segala macam pengkhianatan dan perseteruan semata-mata dengan izin Allah S.W.T.
- Kemudian teruskan bacaan-bacaan lain.
Kesimpulannya, hendaklah kita kembali kepada Allah dan Nabi s.a.w mengikut hal masing-masing. Jika peniaga, ingatlah Allah sewaktu menguruskan perniagaannya. Jika ia seorang buruh kasar atau penyapu sampah, ia tetap mencintai Allah di dalam kerja mereka. Begitulah seterusnya bagi setiap insan yang mahu kembali kepada Allah.
PENIAGA
Kalau seorang peniaga, ia akan sentiasa mengingati Allah S.W.T. di masa perniagaannya. Ia akan mengikut cara Nabi s.a.w di dalam perniagaannya. Dia tidak akan menipu, tidak memakan riba, tidak rasuah dan tidak melakukan segala yang terlarang oleh syarak di dalam perniagaannya.
Dia akan sentiasa menggunakan hartanya kepada yang diharuskan oleh syarak. Dia akan mengeluarkan zakat apabila cukup haul dan nisab. Dia berasa bahawa harta yang dimilikinya adalah hak Allah S.W.T. Ia akan menafkahkan hartanya dijalan Allah S.W.T. ( kebajikan ).
Firman Allah S.W.T. di dalam Al-Quran: "Hendaklah kamu nafkahkan harta kamu di jalan Allah.”
Mereka tidak menggunakan hartanya di jalan yang dimurkai oleh Allah S.W.T. seperti berjudi dan berpoya-poya.
Firman Allah S.W.T di dalam Al-Quran: "Janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke dalam jurang kebinasaan." (Al-Baqarah A: 195 S:2 J:2 M/S:30)
Mereka (peniaga) juga tidak memerlukan pembaziran. Mereka hanya membeli perkara yang diperlukan sahaja. Allah S.W.T telah menegaskan bahawa pembaziran itu adalah amalan syaitan.
Firman Allah S.W.T di dalam Al-Quran: "Sesungguhnya pembaziran itu adalah perbuatan syaitan. Adalah syaitan pada sisi Allah S.W.T ialah orang yang kufur." ( Al-Israa A:27 S:17 J:15 M/S:284)
KUFUR ialah orang yang tidak percaya kepada Allah dan Rasulullah s.aw.
Kalau Allah sendiri telah memfirmankan bahawa membazir itu adalah amalan syaitan yang membawa kepada kekufuran, adakah sesiapa lagi yang boleh menafikannya? Sudah tentu tiada siapa yang berani menafikannya melainkan orang yang tidak beriman.
Peniaga yang beriman juga akan menjaga supaya setiap perniagaannya tiada unsur-unsur haram dan syubahat.
Hati-hati mereka sentiasa memuji kebesaran Allah S.W.T, berzikir dan berselawat kepada Nabi s.a.w.
Kalau mereka lalai, nescaya mereka akan beristighfar kepada Allah S.W.T. Apabila keadaan begini terdapat pada mereka, nescaya akan lahirlah pada tingkah laku mereka dengan akhlak Rasulullah s.a.w di dalam perniagaannya. Apabila mereka mendapat keuntungan, mereka tidak sombong. Bila ditimpa kerugian, mereka tidak kufur kepada Allah S.W.T.
Firman Allah S.W.T di dalam Al-Quran: "Laki-laki yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan tidak ( pula ) oleh jual beli dan mengingati Allah dan mendirikan solat serta mengeluarkan zakat, mereka takut akan hari bergoncang segala hari dan pemandangan di waktu itu." (An-Nur A:37 S:24 J: 18 M/S:555)
Begitu juga kalau ia seorang penyapu sampah. la sentiasa meneliti setiap pergerakan dan hayunan tangannya yang menyapu dengan kebesaran Allah S.W.T. Hatinya sentiasa berdenyut dengan selawat dan istighfar kepada Allah S.W.T. la sentiasa memandang ke Rahiman Allah S.W.T redha dan tawakkal kepada Allah S.W.T.
Contoh yang ketara seperti Awis Qurny. Beliau adalah seorang penjaga unta-unta di Yaman. Sebelum wafatnya Rasulullah s.a.w, baginda telah menyuruh Sayidina Umar dan Sayidina Ali berjumpa Awis supaya meminta doa keampunan bagi umat Baginda s.a.w.
Beginilah takwa yang ditunjukkan oleh Awis walaupun sebagai gembala unta. Keadaannya yang terkenal di kalangan penduduk langit dan tidak dikenali oleh penduduk di bumi.
Bahkan Sayidina Umar dan Sayidina Ali mengenalinya setelah diberitahu oleh Baginda s.a.w.
Bagi seorang pelajar pula ia akan menggunakan ilmunya sebagai jambatan (wasilah) kepada akhirat (makrifat kepada Allah S.W.T).
Ia tidak menggunakan ilmunya untuk memperendahkan orang lain dan bukan pula untuk berbantah-bantah. Apabila sudah mendapat sesuatu maklumat tentang sunnah Rasul s.a.w, hatinya akan berkobar-kobar mengamalkannya. Pada zahirnya akan wujud akhlak Nabi s.a.w
Selawat dan istighfar menjadi bualan hati dan lidahnya. Masanya untuk mentelaah dianggap zikir kepada Allah S.W.T.
Diriwayatkan di dalam suatu hadis, “Bahawa menuntut ilmu semata-mata kerana Allah S.W.T adalah membawa takut kepada Allah. Berangkat ke mana-mana untuk mencarinya adalah ibadat. Mengingat atau menghafaz akannya adalah tasbih (memuji Allah S.W.T). Berbahas untuk mendapatkan hakikatnya adalah jihad. Membaca (kitab) untuk memperluaskannya adalah sedekah dan menyebarkannya kepada orang-orang yang ahli adalah mendekatkan kepada Allah S.W.T."
Ilmu adalah perbezaan di antara yang halal dan yang haram.
Ilmu adalah tanda jalan ke syurga.
Ilmu adalah penghibur hati ketika berasa gelisah.
Ilmu adalah sahabat di dalam perjalanan.
Ilmu adalah juru bicara ketika bersunyi-sunyian.
Ilmu adalah penolong ketika susah dan senang.
Ilmu adalah senjata ( bagi menentang musuh ).
No comments:
Post a Comment